|
SPR terima 159,123 permohonan baru
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menerima 159,123 permohonan untuk
mendaftar sebagai pemilih baru dalam tempoh antara Oktober hingga Disember lalu
dan senarai nama mereka akan dipamerkan di 853 tempat yang disediakan selama
seminggu, mulai hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam kenyataan media semalam berkata,
SPR turut menerima 54,920 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi
daripada pemilih dalam tempoh itu, yang akan turut dipamerkan bersama senarai
pemilih baru terbabit.
Katanya, antara tempat pameran adalah pejabat pilihan raya negeri (14), pejabat
pos berkomputer (417), kompleks atau pejabat kerajaan (54), pejabat daerah atau
pejabat tanah (157), majlis daerah atau perbandaran (44), dewan serbaguna, rukun
tetangga dan balai raya/penghulu/dewan (155) serta tempat lain (12).
Penduduk dakwa nampak 'penculik' Sharlinie
KUALA LUMPUR: Seorang saksi tampil membuat laporan di Pondok Polis Taman Medan
semalam, setelah mendakwa ternampak seorang lelaki menyerupai lakaran wajah
suspek kes culik. Sharlinie Mohd. Nashar yang disiarkan akhbar tempatan.
Dia yang juga penduduk Taman Medan mendakwa melihat suspek menaiki motosikal
jenis Yamaha 125Z berwarna biru antara pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang
di lokasi mangsa dilaporkan hilang pada Rabu lalu.










| |
|
Sabtu
12 Januari 2008 |
03
Muharam 1429 |
 |
Nasional
|
|
Klip video: Dr Mahathir, Mohamed Dzaiddin terima sapina
|
Berita Utama
Nasional
Dalam Negeri
Luar Negara
Rencana
Sukan
|
|
Sabtu | 12 Jan
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah
adalah antara 15 saksi yang disapina untuk memberi keterangan kepada
Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video memaparkan perbualan telefon
seorang peguam berhubung pelantikan hakim-hakim.
Sapina terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Hakim Negara itu
dikeluarkan Rabu lalu supaya hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya
berkenaan yang akan memulakan siasatan pada Isnin depan sehingga 25 Januari.
Pegawai khas bekas Perdana Menteri, Sufi Yusoff berkata, Dr Mahathir
dikehendaki hadir membantu prosiding siasatan pada Rabu ini.
Menurut Sufi, sapina itu diterima oleh pegawai khas di pejabat bekas Perdana
Menteri itu, Datuk Nordin Bachik bagi pihak Dr Mahathir pada Rabu lalu.
‘‘Dr Mahathir mengesahkan beliau akan hadir sebagai saksi pada hari
tersebut,’’ ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamed Dzaiddin ketika dihubungi mengesahkan kehadiran
beliau sebagai saksi minggu depan.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa pula memberitahu,
selain beliau, penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyelaras
PKR, Sim Tze Tzin juga akan memberi keterangan pada Selasa depan.
Difahamkan, saksi-saksi lain terdiri daripada pakar forensik digital dari
syarikat Cyber Security Malaysia.
Sebelum ini, sebanyak 20 saksi telah diambil keterangan berhubung kes itu
oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) termasuk seorang lagi bekas Ketua Hakim
Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Keterangan turut diambil daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor, tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan dan seorang bekas
Ketua Setiausaha Negara.
Suruhanjaya Diraja itu yang ditubuhkan pada 12 Disember lalu dipengerusikan
oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.
Suruhanjaya itu antara lain ditugaskan menyiasat dan menentukan kesahihan
rakaman klip video, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip
video tersebut dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut
dalam perbualan itu.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri
(JPM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, prosiding siasatan
Suruhanjaya Diraja itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang di Mahkamah
Tinggi, Aras 3, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdullah Sani Abdul Halim selaku Setiausaha
Suruhanjaya Diraja memberitahu, sapina dikeluarkan kepada kesemua 15 saksi
mulai minggu ini.Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Peguam,
Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan menghantar lima wakil sebagai
peguam pemerhati dalam prosiding tersebut.
Menurut beliau, mereka ialah bekas Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh,
Robert Lazar, Ranjit Singh, Christopher Leong dan Razlan Hadri.
|
|