|
Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh mati ditembak
Jumaat | 11 Jan
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy
mati setelah ditembak dalam satu kejadian di Bangunan MIC, di Jalan Segget,
kira-kira pukul 2.30 petang ini.
Difahamkan mangsa ditembak semasa berada di dalam lif bangunan berkenaan.
Penduduk dakwa nampak 'penculik' Sharlinie
Jumaat | 11 Jan
KUALA LUMPUR: Seorang saksi tampil membuat laporan di Pondok Polis Taman Medan
semalam, setelah mendakwa ternampak seorang lelaki menyerupai lakaran wajah
suspek kes culik. Sharlinie Mohd. Nashar yang disiarkan akhbar tempatan.
Dia yang juga penduduk Taman Medan mendakwa melihat suspek menaiki motosikal
jenis Yamaha 125Z berwarna biru antara pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang
di lokasi mangsa dilaporkan hilang pada Rabu lalu.










| |
|
Jumaat
11 Januari 2008 |
02
Muharam 1429 |
 |
Nasional
|
|
Bapa
Nurin harap keluarga bersabar
|
Berita Utama
Nasional
Dalam Negeri
Luar Negara
Rencana
Sukan
|
|
Jumaat | 11 Jan
KUALA LUMPUR: Keluarga kanak-kanak yang diculik dan dibunuh kejam, Nurin
Jazlin Jazimin, 8, berharap keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang
kehilangannya didakwa angkara lelaki kucing, bersabar dalam menghadapi ujian
dihadapi mereka.
Bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 34, berkata beliau sekeluarga berdoa
Sharlinie akan ditemui dengan selamat dan berharap kanak-kanak itu tidak
diperlakukan seperti anaknya.
“Saya harap ibu bapanya bersabar dengan apa yang berlaku sekarang. Saya
berharap masyarakat akan buka mata lihat apa yang berlaku ini dan cuba bantu
mereka... saya tidak mahu kejadian yang menimpa Nurin berlaku kepada
kanak-kanak lain.
“Sekiranya ada yang nampak sebarang kejadian yang mencurigakan berlaku
(kepada kanak-kanak) maka langkah segera perlu dilakukan, jangan tunggu
sampai terlewat, terus ambil tindakan untuk selamatkan mereka... itulah
sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kehilangan Sharlinie yang mendapat liputan
meluas akhbar selepas berita kehilangannya dikaitkan dengan lelaki kucing.
Kanak-kanak itu sepatutnya pergi mengaji al-Quran bersama kakaknya,
Sharliena, 8, selepas pulang dari sekolah pada jam 11 pagi, bagaimanapun
kedua-duanya ponteng kerana mahu bermain di taman permainan yang jaraknya
hanya 200 meter dari rumah mereka.
Risau dengan kejadian yang berlaku kepada Sharlinie dan kanak-kanak lain,
Jazimin berharap pihak berkuasa dapat meningkatkan pengawasan terutama di
kawasan perumahan dan padang permainan bagi mengelakkan kejadian tidak
diingini berlaku.
Beliau berkata, masyarakat bergantung kepada kecekapan polis dalam memantau
keadaan di sesuatu kawasan terutama berkait rapat dengan keselamatan
kanak-kanak.
Jazimin berkata, beliau menaruh kepercayaan bahawa pihak berkuasa terutama
polis dapat mengawal kegiatan jenayah dan mencari penjenayah supaya tidak
terus bebas.
“Kebanyakan ibu bapa bukan daripada golongan berada dan tidak akan mampu
mengupah pengawal peribadi atau pengasuh, mereka perlu bekerja untuk mencari
duit.
“Sekiranya ibu bapa memantau anak mereka selama 24 jam setiap hari... nanti
apa yang kita boleh buat, kita perlu cari rezeki. Oleh itu, kita harap polis
memastikan keselamatan kanak-kanak,” katanya.
Beliau juga berharap pembunuh anaknya dapat ditangkap dalam tempoh terdekat,
walaupun kejadian itu berlalu hampir empat bulan.
|
|