|
Minyak masak dicatu - Dihad beli 5 kilogram sahaja seorang
PUTRAJAYA: Mulai minggu depan, orang ramai akan dihadkan membeli minyak masak
maksimum lima kilogram sahaja bagi menangani masalah kekurangan bahan itu yang
semakin meruncing.
Ka Ting pangku jawatan Menteri Kesihatan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan
pelantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting
sebagai pemangku Menteri Kesihatan berkuat semalam.
Pulangkan yuran tandas
JOHOR BAHRU: Sebuah sekolah menengah di Permas Jaya di sini telah diarah
memulangkan semula yuran penyelenggaraan tandas sebanyak RM5 yang dikenakan ke
atas para pelajarnya pada Isnin ini.
Lagi..










| |
|
Jumaat
04 Januari 2008 |
25
Zulhijah 1428 |
 |
Rencana
|
|
Bijak merencana azam tahun baru
|
Berita Utama
Nasional
Dalam Negeri
Luar Negara
Rencana
Sukan
|
|
Oleh: ABU
BAKAR YANG*
SEBAGAIMANA yang telah ditakdirkan, sambutan Tahun Baru 2008 hanya berbeza
beberapa hari sahaja dengan sambutan Maal Hijrah 1429 Hijrah. Bagi mereka
yang bersungguh-sungguh menyambut tahun baru, melangkah masuk ke tahun baru
membawa banyak erti kerana ia ibarat buku catatan baru hidup seseorang yang
akan menjalani hidup untuk tahun seterusnya.
Tahun Baru boleh menjadi pendorong yang cukup kuat untuk memungkinkan
seseorang berusaha dengan lebih gigih dan yakin untuk mencapai apa yang
dirancang sepanjang tahun tersebut.
Berjaya atau tidak perancangan itu bergantunglah kepada kesungguhan yang
ditunjukkan berdasarkan kepada ilmu yang dimiliki dan difahami serta
pengalaman yang telah dilaluinya.
Maal Hijrah yang saban tahun disambut oleh umat Islam seluruh dunia
mempunyai dorongan yang berbeza kerana ia mengambil semangat atau roh
penghijrahan Baginda Rasulullah s.a.w dari bumi yang penuh dengan kekufuran
dan kemungkaran kepada satu kehidupan yang dinaungi oleh roh keimanan dan
keredaan Allah s.w.t.
Maka sambutan tahun baru berdasarkan kepada penghijrahan insan yang mulia
ini, membawa makna jauh lebih besar kerana ia berupaya mengubah hidup
seseorang.
Ia juga berupaya mengubah dunia dan membentuk satu tamadun yang jauh lebih
hebat daripada mana-mana tamadun yang pernah dibentuk sebelum itu.
Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w bukanlah berlaku secara tidak sengaja.
Segala-galanya telah dirancang dan disusun dengan rapi Allah s.w.t agar kita
sebagai umat yang kemudian dapat mempelajari sesuatu daripada peristiwa yang
hebat ini.
Memang boleh sekiranya Allah menghijrahkan Rasul-Nya dari Mekah ke Madinah
dengan mukjizat sepenuhnya. Bahkan penghijrahan Baginda Rasulullah s.a.w
boleh dilakukan dengan cepat dan tanpa perlu bersusah payah, dan Rasulullah
pun boleh sampai ke bumi Madinah dengan selesa dan selamat. Tetapi yang
jelas Allah tidak menghendaki sedemikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku
dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan unsur perlindungan Ilahi dan juga
ikhtiar manusia.
Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga
akhir, ia penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dan mendebarkan.
Memang Rasulullah mendapat perlindungan Allah, tetapi Baginda juga terpaksa
menempuhi perjalanan yang serba pahit. Bukannya mudah untuk melepasi
jaring-jaring maut kaum Quraisy yang berhabis-habisan memburu untuk
menghapuskan Baginda. Begitu rapi perancangan kaum Quraisy, namun
perancangan hijrah Rasulullah yang diilhamkan oleh Allah jauh lebih rapi dan
tersusun.
Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah s.a.w memang
sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak
pernah berasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merencanakan
perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang
telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini
termasuklah:
Pertama, perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur di biliknya
pada malam itu. Sebaliknya diperintahkan Ali Abi Talib mengambil tempatnya
tidur di kamar Baginda untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih
berada di biliknya.
Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah
utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke
selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut
barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan
pihak Quraisy sudah mulai mengendur.
Kedua, sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak
musuh menerusi Abdullah Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul
maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada
Baginda di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang
amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup
dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan
semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya
untuk mendapatkan maklumat.
Ketiga, kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat berkesan.
Lihat saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya
seperti Abu Bakar r.a hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan
dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu
keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga
diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.
Keempat, menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau daripada orang
kafir sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat
seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak
diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda
setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan
mengkhianatinya.
Daripada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan
hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi
dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w Perjalanan hijrah dengan segala
liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang
berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa
dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan
yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan ialah suatu aliran
menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk
mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan
pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk
menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.
Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan
yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi
di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk
menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam
surah al-Anfal ayat ke-60.
Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan
jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan
kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang
ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan
sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada
ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka
perintah Tuhan, “…waa’iddu lahum…” (bersiaplah menghadapi mereka…) itu harus
pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan yang bernas
lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan,
ekonomi dan sebagainya.
Lebih jauh daripada itu al-Quran juga telah menampilkan peribadi Nabi Yusuf
a.s sebagai tokoh misali perancang ekonomi sebagaimana yang diterangkan
kepada kita dalam surah Yusuf, ayat yang ke-47 hingga ke-49. Di mana dalam
ayat tersebut, Nabi Yusuf a.s telah menyarankan suatu perancangan ekonomi
pertanian untuk jangka waktu empat belas tahun dengan membuat perimbangan di
antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula.
Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan ini, krisis ekonomi yang
dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindarkan.
Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan
keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana
dan pemikiran bernas. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya
dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar daripada ajaran Islam.
Memang manusia hanya boleh merencana, tetapi Allah jua yang menentukan jaya
atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan
rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak
dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan.
Demikianlah apa yang telah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah
cukup rapi. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan
perlaksanaan yang telah direncanakan, maka akibatnya pasukan Islam mengalami
pukulan teruk.
Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w menerusi
peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk
kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka
dengan hikmah-hikmah yang terkandung di sebalik setiap peristiwa-peristiwa
besar sebagai panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir
ini.
* ABU BAKAR YANG ialah pegawai penyelidik Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM)
|
|